doa dan cara menghidupkan lailatul qadar
Kelebihan Lailatul Qadar
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatul qadar itu? Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: 1-5)
Di antara keistimewaan Ramadan juga ialah adanya lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Dahulu, para sahabat mengadu kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan umur dan kesempatan untuk beribadat. Hal ini kerana umat pada zaman dahulu mempunyai jangka umur panjang yang membolehkan mereka untuk beribadat lebih lama. Disebabkan itu, para sahabat mengadu dengan baginda SAW. Maka, Allah SWT menganugerahkan satu malam yang mana sesiapa yang mendapati malam tersebut merupakan satu keuntungan yang besar bagi mereka. Malam itulah yang dinamakan lailatul qadar yang padanya lebih baik daripada 1000 bulan (iaitu 83 tahun).
Ada juga beberapa fuqaha' yang berpendapat lailatul qadar merupakan malam paling afdal daripada malam-malam lain bahkan lebih afdal daripada malam Jumaat. Hal ini kerana keistimewaan yang ada pada lailatul qadar tersebut.